KOMPUTER DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
1.Pendekatan dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Matlamat pendidikan Teknologi Maklumat ( TM ) dapat dicapai dengan wujudnya pertalian erat antara Kurikulum,Pedagogi dan Pentaksiran. Kurikulum TM digubal dalam konteks pengajaran / pembelajaran bestari dan disokong oleh pentaksiran berasas kriteria.Dalam kata yang lain, pelaksanaan kurikulum teknologi maklumat berasaskan kepada paradigma baru dalam pendidikan (Voogt dan Odenthal, 1997, 1999) yang menekankan kepada pemahaman dan penguasaan proses. Dalam pendekatan ini, pelajar memainkan peranan aktif dalam menentukan haluan (self directed) dan kemajuan (self pace) pembelajaran masing-masing.Ke arah meguasai pengetahuan dan kemahiran yang ditetapkan, pelajar.
Pentaksiran berasaskan sekolah akan digunakan oleh pelajar untuk membolehkan mereka mengukur tahap penguasaan pengetahuan / kemahiran / sikap mereka berbanding kriteria yang ditetapkan.Pentaksiran berasaskan sekolah dilaksanakan dengan tujuan untuk membolehkan pelajar memperbaiki pencapaian diri (assessment for better learning).
Pelaksanaan pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran menuntut guru untuk mengubah peranan mereka; daripada "tuan" kepada "pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada "fasilitator". Pelajar menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan pelajar berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan.
2.Pengajaran Berbantukan Komputer ( Computer Assisted Instruction, CAI )
2.1 Integrasi Bahan Kursus CAI dalam bilik darjah
Antara aspek-aspek mustahak dalam CAI ialah pembangunan bahan kursus, mengintegrasi bahan CAI dengan aktiviti bilik darjah, untuk mendapat sistem komputer, untuk mengedar bahan kursus CAI dan untuk menentukan keberkesanan CAI dalam bilik darjah.
Bagi setiap topik / tajuk dalam CAI telah direka beberapa unit seperti verbal, latih tubi, tutorial, simulasi dan pertanyaan bergantung kepada kumpulan pelajar sasaran. Sebagai tenaga pengajar yang akan menggunakan komputer sebagai medium pengajaran dengan berkesan, seseorang patut tahu tentang kelebihan dan kelemahan sebuah komputer.
2.2 Sistem Komputer dan Pengurusan
Isu komputer yang perlu diambilkira dalam melaksanakan sesuatu CAI ialah kos pelaksanaan yang merangkumi aspek-aspek seperti bilangan komputer yang diperlukan,bilangan jam yang diperlukan oleh setiap pelajar untuk setiap mata pelajaran dalam seminggu, penyenggaraan komputer dan keselamatan sistem komputer.
Pemilihan jenis dan pemiawaian komputer yang bersesuaian untuk CAI juga adalah penting.Sekiranya jenis komputer yang dipilih adalah mikrokomputer maka pemiawaiannya perlu diambilkira juga contohnya, keperluan minima untuk satu sistem mikrokomputer adalah 640K bait bagi ingatan utama, satu pemacu cakera dan satu monitor video yang mampu memaparkan sekurang-kurangnya 1000 aksara dengan kemudahan grafik.
Perlaksanaan CAI adalah lebih mudah dilaksanakan dalam bentuk rangkaian kerana ia akan menjimatkan kos pelaksanaan.Walaubagaimanapun, masalah utama kepada pelaksanaan dalam bentuk rangkaian ialah jika masalah timbul dalam sistem ia akan melibatkan semua komputer dalam rangkaian.
2.3 Multimedia Berasaskan Komputer ( Computer Based Multimedia, CBM )
Sistem-sistem multimedia untuk pendidikan dapat menyampaikan pengajaran secara langsung kepada para pelajar melalui cara berinteraksi dengan mata pelajaran yang telah diprogramkan menggunakan multimedia ke dalam komputer.
Multimedia boleh dijadikan salah satu alat bantuan mengajar (ABM) kerana ia membolehkan guru mengurus aktiviti pengajarannya secara teratur dan menarik dengan cara memberi persembahan yang pelbagai menggunakan program-program multimedia yang senang didapati.
Contohnya, persembahan pengajaran yang menarik boleh dilakukan menggunakan aplikasi multimedia seperti Authoware, Freehand, Page Maker dan sebagainya kerana ia mengandungi grafik yang menarik yang boleh diaudiokan, divideo, dan dianimasikan secara bijaksana.